Air tasik berwarna hijau pekat. Tenang di permukaannya, namun di dasarnya tiada siapa yang tahu melainkan Allah. Sekali-sekala terlihat kelibat sekumpulan ikan, mengusik ketenangan tasik. Berenang berkejaran sesama mereka, bebas bagai tiada apa belenggu yang mengikat.
'Owh, indahnya. Andai aku bisa berenang bebas ke sana-sini semahu hatiku.' Sempat aku berbisik sendirian. Sepi.
Suara kanak-kanak sedang bermain-main berjaya mencuri ketenangan. Aku tolehkan kepalaku, mengarahkan pandanganku ke arah sekumpulan kanak-kanak yang sedang ketawa riang. Mereka seronok bermain layang-layang. Riak wajah terukir sejuta kebahagiaan, keriangan. Bagai tiada sebarang masalah tersemat di dalam kepala, tergalas di atas bahu. Indah dunia kanak-kanak. Zaman di mana diri belum kenal erti kehidupan.
"Kau tahu bagaimana caranya membuat layang-layang?" tiba-tiba suara lirih mengejutkan lamunanku. Aku tersentak namun berpura-pura tidak mendengar. Aku tidak menunjukkan sebarang reaksi, sekadar diam membisu.
"Kau tahu bagaimana caranya membuat layang-layang?" dia yang berdiri di sebelahku bertanya lagi. Suaranya ditinggikan lebih sedikit. Cuba menarik perhatianku seadanya. Aku mengerti.
Akhirnya aku menoleh ke arahnya. Mengukir senyuman untuknya.
"Mudah saja membuat layang-layang. Asalkan ada lidi, buluh atau kayu sebagai rangka, kertas, benang, gunting dan gam. Itu saja, kan?" Akhirnya aku membuka mulut. Dia menganggukkan kepalanya.
"Agak-agak kalau main tampal begitu saja, layang-layang tu boleh terbang tinggi ke?" Dia cuba menguji lagi. Tersengih memandang ke arahku.
"Ah kamu ini. Tentulah tidak boleh terbang. Layang-layang mesti seimbang, ringan, teguh ikatan dan tampalannya, barulah boleh terbang tinggi.." Aku menjawab lagi. Sekadar meneka mengikut logika akalku. Dia mengangguk-anggukan kepalanya. Entah apa tersirat di kepalanya, aku juga tidak tahu.
"Kau pernah main layang-layang?" Giliran aku pula bertanya. Jari jemariku mengutip dua ketul anak batu kemudian melontarkan batu-batu tersebut ke dalam tasik. Jauh.
"Mestila. Tengok oranglah.." Dia menjawab riang. Bangga barangkali. Aku mengukir senyuman. Menatapnya penuh minat.
"Andai kau layang-layang, agaknya kau bagaimana?" Soal aku lagi. Senyuman dia mati tiba-tiba. Dahinya berkerut-kerut bagai sedang memikirkan sesuatu. Aku pula yang tersenyum kini, gelihati melihat keletahnya.
"Kalau aku layang-layang?" Dia menyoal aku kembali. Matanya bulat.
"Ya, kalau kau layang-layang." Aku menyambung kata.
Dia di sebelahku memandang jauh ke depan. Mendongak awan. Menarik nafas dalam-dalam kemudian menghembusnya perlahan-lahan.
'Kalau aku layang-layang, aku berdoa agar tali yang mengikat aku kukuh, tidak putus.'
'Kalau aku layang-layang, aku berharap agar tubuhku tidak koyak atau rosak.'
'Kalau aku layang-layang, aku mahu angin sentiasa ada menolak aku ke atas.'
'Kalau aku layang-layang, aku ingin agar pemainku adalah yang terbaik dan terhandal.'
"Ah! Aku tidak mahu jadi layang-layang!" Panjang angannya, namun akhirnya kata-kata itu yang terluncur dari bibirnya. Aku terkesima menatap wajahnya.
"Kenapa?" Bagai si dungu aku bertanya kepada dia.
"Kerana layang-layang tidak mampu berdikari. Layang-layang hidup bergantung kepada yang lain. Layang-layang tiada pendirian dan kehendak. Layang-layang tidak selamanya di atas!" Keras suaranya menyatakan maksud yang tersirat di hati.
"Kau pernah lihat bagaimana keadaan layang-layang bila angin tiada?" Soalnya.
"Pernah kau nampak bagaimana layang-layang tersangkut pada dahan pepohon bila angin menggila atau talinya putus?" Dia bertanya lagi padaku.
"Kau pernah lihat layang-layang bila putus talinya?"
"Atau bagaimana keadaan layang-layang bila ekornya putus atau tubuhnya koyak?" Bertalu-talu soalannya menerjah otak fikiranku. Sepantas itu juga otakku ligat mencari jawapan. Sungguh. Jawapannya menyedihkan. Mengecewakan. Aku tunduk merenung rumput-rumput yang menghijau menghias taman.
Akhirnya aku mengerti.
Menjadi layang-layang bukanlah seindah rupanya.
Diambil dan berkongsi bersama di sini
Aku Bukan Layang-Layang
1:40 PM
nicholas chuah
0 comments:
Post a Comment